Monday, 28 November 2011

Bawa hati menuju Illahi

bergerak menuju cahaya Illahi





Bismillahirahmanirrahim

Wahai hati jangan kau pergi
Wahai jiwa jangan kau jauh dari-Nya
Sesak...aku lemas bernafas
Dunia mengikatku
Ikatan kukuh masihkah di situ?

Ya Rabb, aku mohon kekuatan,
Aku mohon keampunan
Jangan ya Allah aku dibiar sendiri
Jangan ya Rahman aku diketepi
Dari pandangan Rahim-Mu
Dari tabir hidayah-Mu

Tunduk kaku aku terbelenggu
Sulit benar nak kuluah
Bukan petah untuk kulafaz
Tapi Kau Maha Mengetahui ya Rabb
Tiap detik, titik dan saat
Dalam genggamanM-Mu
Dalam peliharaan-Mu

Hati kau diuji lagi
Kali ini biarlah dengan kesedaran
Ujian itu tanda kasih-Mu
Sebagai kejutan buatku, menyedarkanku
Bahawa telah jauh...menjauh
Kembalilah...kembalilah wahai hati
Menuju Rabbul Izzati


sejuk mencengkam...

Friday, 25 November 2011

Hijrah menuju Allah

perubahan...biarlah ke arah kebaikan




Bismillahirrahmanirrahim

Kalau di sini cuaca mula berubah, bukan setakat hujan, tapi sejuk mencengkam. Allah menciptakan perubahan buat kita berfikir dan menilai. Andai cuaca berubah dengan setiap kesan yang dibawanya, bagaimana kita manusia?

Tanggal 1 Muharram 1433 H, tarikh penghijrahan itu menjadi satu titik ukur buat umat Islam. Ibrah di sebalik peritiwa hijrah itu wajar diteladani, bukan ekadar diketahui sahja. Saya terfikir, setakat mana peristiwa hijrah ini dekat di hati? Adakah hanya singgah tanpa sebarang kesan?

Ramai orang saya yakin memasang azam setiap kali tiba tahun baru masihi. Namun, bagaimana dengan azam tahun baru hijrah? Adakah sama azamnya atau memperbaharui azam lama? Setiap tahun tarikh itu tiba, kita sebagai hamba masih diberi kesempatan untuk melaluinya. Setiap tahun bererti bertambah umur kita, bertambah kematangan kita dan harapnya bertambah amalan kita. Apa yang penting juga untuk kekal istiqamah dalam kebaikan, insyaAllah.

Sekian dulu dari saya beserta segala persoalan yang sanya nyatakan. Moga menjadi pembuka minda buat kita semua. Hanya sebagai ingatan buat diri saya yang lemah jua. Saya ucapkan selamat tahun baru hijrah. Moga ia menjadi titik perubahan bermakna buat kita semua, insyaAllah.

Salam Maal Hijrah...menuju redha Allah

cuaca sejuk menyelubungi

Thursday, 24 November 2011

Cahaya di hujung jalan

bergerak menuju cahaya.....
sumber



Bismillahirrahmanirrahim,


Cahaya di hujung jalan


Aku masih di sini
Hati gundah itu masih bersisa
Dalam ruang pasti dan sangsi
Diriku diuji
Itu cubaan
Itu ujian
Kuatkah?
Aku menelah
Pastikah?

Pegangan itu masih kuat
Benarkah?
Adakah terus diikuti
Petunjuk yang pasti
Atau menjauh dari yang Illahi

Hati, kau bakal dan sedang digoncang
Binalah rasa mendekat
Rasa yang rapat
Dengan yang hakiki
PetunjukMu ya Rabb sangat kunanti
Ku kejar jua
Moga diberkati,
Moga dirahmati,
Menuju hakikat diri


bait lagu KeredhaanMu: InTeam


Petunjuk-Nya

hidayah untuk dicari...bergeraklah ke arahnya






Bismillahirrahmanirrahim,

Dalam hidup ini kita diberi dua pilihan; mahu yang baik atau ikut yang buruk. Di antara dua pilihan itu ada perasaan ragu, sangsi dan was-was. Hakikat penciptaan manusia perlukan petunjuk atau hidayah dari Allah. Tidak akan mampu untuk kita meneruskan kehidupan tanpanya. Hidayah sering diberi gambaran sebagai kompas penunjuk jalan, layar peneraju kapal atau tongkat buat si buta.

Hidayah: perlukah dicari?

Allah Rabbu Izzati yang menjadi pemilik sekalian hati. Setiap detik Dia Maha Mengetahui. Hidayah itu hak Allah, namun kita sebagai hamba mampu berusaha untuk bergerak mendapatkan hidayah. Seumpama magnet yang menarik besi, begitulah kita perlu bertindak untuk mendapatkan hidayah. Sebagai permulaan, sentiasalah berdoa agar setiap langkah kita dalam redha-Nya bukan semata-mata gerak hati yang mungkin tesasar.

Bagaimana mahu mendapatkan hidayah?

Cara terbaik ialah meniru cara Nabi SAW mendekatkan dirinya kepada Allah. Betapa Nabi SAW selalu memohon keampunan sedangkan baginda terhindar dari dosa. Baginda SAW selalu berzikir dan mengingati Allah dalam setiap tindakannya. Andai kita fikir kembali, di mana kita? Sudah cukupkah kita mengingati Allah. Sudah cukupkah rasa sedar kita terhadap setiap salah silap yang kita lakukan?

Solat istikharah

Jika semasa zaman remaja, solat istikharah sering dikaitkan dengan soal mencari jodoh. Namun, dengan peningkatan usia, sedarlah saya bahawa bukan hanya boleh diamalkan sebagai penentu jodoh, tapi mencakupi semua urusan kehidupan. Bila kita melihat makna dalam doa solat istikharah, jelaslah bahawa sangat barakah andai setiap tindakan kita berpandukan petunjuk Allah. Di sini saya kongsikan pengisian dari blog Doa Harian:

Doa Istikharah bererti:

Memohon semoga Allah menunjukkan keputusan yang terbaik untuk dilaksanakan.


Kata Jabir bin Abdullah: Rasulullah s.a.w. mengajar kami beristikharah dalam semua pekerjaan seperti baginda mengajar kami satu surah dari Al-Quran, sabdanya: "Apabila seseorang kamu mempunyai rancangan untuk melakukan sesuatu hendaklah dia melakukan solat sunat dua rakaat, kemudian bacalah doa ini:



"Ya Allah, aku memohon petunjuk daripadaMu dengan ilmuMu dan aku memohon ketentuan daripadaMu dengan kekuasaanMu dan aku memohon daripadaMu akan limpah kurniaanMu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahu segala perkara yang ghaib.

Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini (sebutkan..) adalah baik bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatlah bagiku padanya da seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini (sebutkan..) mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya".

(sebutkan urusan yang dimaksudkan di tempat yang bertitik).



Gerak hati mungkin menipu, tetapi bimbingan Allah itu jitu dan menambah keyakinan kita. Jadi, saya ingin mengingatkan diri sendiri juga supaya menggunakan istikharah sebagai petunjuk dalam setiap urusan hidup. Moga ada barakah, moga ada manfaat dan kebaikan buat kita semua, InsyaAllah.

Wallahua'alam

berangin tanda autumn

Wednesday, 23 November 2011

Kena sindir?

tegurlah dengan baik....moga Allah membuka hatinya
sumber




Bismillahirrahmanirrahim,


Hari ini saya terbaca beberapa email. Antaranya berbau sindiran. Anda pernah disindir?

"Biasa la tu...."

"Sentap juga ye cakap dia tu...."

"Pedas sungguh!"

Biasakah kita dengar atau ucapkan perkataan di atas?


Sindiran penyedap kata

Ada orang kita lihat biasa sungguh menyindir. Ibaratnya bagai penyedap kata. Kadang kala saya terfikir bagaimana kita tergamak untuk menyindir orang lain sedang diri penuh dengan kekurangan? Apa yang saya fikirkan ialah apabila sindiran itu tidak membawa kebaikan, malahan menyebabkan si pendengarnya jadi "down". Apa kebaikannya sindiran itu?

Kata orang,

"Siapa makan cili, dia terasa pedas"

Benar. Saya setuju dengan pepatah itu. Secara logiknya juga begitu. Bukan setakat pedas; panas, gembira, sedih...semuanya melibatkan perasaan terutama bagi yang mengalaminya sendiri. Namun, apa yang penting bagi saya ialah sampaikanlah nasihat, teguran, didikan itu secara berlapik. Gunakan hikmah dalam menegur, jangan terus "fire", takut nanti terbakar dan rentung pula...


Sindiran vs nasihat

Pernahkah kita rasa bersalah untuk menegur seseorang? Contohnya dari sudut aurat atau ikhtilat antara muslimin dan muslimat?

Perasaan yang hadir ketika itu ialah, rasa ragu mahu ditegur atau tidak. Dalam keadaan ini mungkin sindiran ada gunanya. Mungkin boleh nyatakan nasihat itu secara sindiran yang tidak keterlaluan. Contohnya:

1. Nasihat untuk menutup aurat dengan sempurna:

"Cantik sungguh tudung awak ye. Lagi cantik kalau labuh menutup dada. Pasti Allah suka"

2. Nasihat untuk orang suka merungut:


"Rasanya kerja ini boleh cepat siap kalau kita kurang bercakap kot"

3. Nasihat buat orang yang suka marah:


"Panas sungguh hari ini. Ya Allah, datangkanlah angin untuk sejukkan kepanasan ini"

Di atas ini cuma cadangan saya. Hakikatnya, dalam keadaan yang sebenar kita sentiasa ada peluang untuk menyindir atau menegur dengan cara yang baik dan membawa kebaikan untuk orang lain.


Tips hadapi sindiran

Di sini saya ingin berkongsi beberapa tips untuk menghadapi sindiran:

1. Berlapang dada dengan sindiran itu.

2. Cuba jadi rasional dan ambil pengajaran dari kritikan itu.

3. Bergerak untuk perbaiki diri andai sindiran itu mampu bawa kebaikan kepada kita.

4. Berdoa supaya orang yang menyindir itu sedar.

5. Kalau memang jelas sindiran itu tidak berasas, maka biarkan sahaja...


Akhir kalam, saya mengingatkan diri dan rakan-rakan untuk sama-sama memelihara lisan agar tidak terjebak ke kancah dosa. Marilah kita renungi ayat-ayat Allah dalam Surah Al-Qaaf (50: 16-18) terutama ayat yang terakhir:

[50.16] Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya dari pada urat lehernya,


[50.17] (yaitu) ketika dua orang malaikat mencatat amal perbuatannya, seorang duduk di sebelah kanan dan yang lain duduk di sebelah kiri.


[50.18] Tiada suatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir.


Wallahua'lam

dan daun pun berguguran....

Tuesday, 22 November 2011

Jom hulurkan bantuan






Bismillahirrahmanirrahim,

Alhamdulillah dengan izin Allah jua saya diberi kesempatan untuk menulis. Benarlah masa itu seperti pedang, kalau tidak dipotong maka kita akan dipotong. Khilaf sungguh rasa diri kerana kurang bijak mengurus masa. Apa pun saya doakan agar sahabat-sahabat semua diberi kemudahan dan kemampuan untuk menguruskan masa, InsyaAllah.

Buat baik dibalas baik


Saya yakin kita semua pernah berada dalam dua keadaan yang memmerlukan kita berkorban. Contohnya, kita sedang sibuk menyiapkan tugasan, tapi dalam masa yang sama ada sahabat kita yang memerlukan bantuan kita untuk membantunya menyelesaikan masalah. Dalam keadaan ini, apa tindakan anda?

A. Buat tidak tahu dan terus habiskan tugasan kita
B. Berhenti buat tugasan dan terus membantu sahabat kita

Sungguh dalam kehidupan ini kita ada dua pilihan; antara kebaikan dan keburukan. Keadaan yang sama berlaku dalam situasi ini. Kita diberi peluang menambah kebaikan dengan tindakan kita membantu sahabat kita. Memang jelas pengorbanan memerlukan kefahaman. Jelas jika kita tidak memahami kelebihan dalam berkorban pasti kita tidak tergerak untuk melakukannya.

Jadi, saya mengingatkan diri sendiri dan kawan-kawan untuk sama-sama berbuat baik. Yakinlah Allah akan memudahkan setiap urusan kita andai kita memudahkan urusan orang lain.

Bantuan dari Allah

Banyak sirah para Anbiya' tentang pertolongan Allah yang tidak disangka-sangka kepada golongan yang beriman. Contohnya kisah Nabi SAW yang bersembunyi di Gua Thur semasa peristiwa hijrah. Sarang labah-labah memjadi penyelamat kepada Nabi SAW dan Saidina Abu Bakar.

Sebenarnya dalam hidup ini kita perlu sedar kita sebenarnya sangat-sangat memerlukan bantuan Allah. Sebab itulah amat penting untuk kita mengenal Allah (makrifatullah) dan meyakini bahawa Allah sentiasa ada. Dialah yang memberikan kemudahan kepada hamba-Nya.

Andai kita mengenal Allah dengan sebaiknya, maka tidak ada rasa gelisah dan bimbang terhadap ujian yang menimpa kita. Marilah kita sama-sama merenung firman Allah dalam Surah Al-Insyirah (94: 5-8):

[94.5] Karena sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan,


[94.6] sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.


[94.7] Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain,


[94.8] dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap.


Mari tambah ilmu makrifatullah

Akhirnya, saya menyeru diri dan rakan-rakan untuk bersama-sama menambah ilmu yang mendekatkan diri kita kepada Allah. Moga dengan penambahan ilmu ini menjadikan kita hamba-Nya yang tidak pernah resah dengan dunia tapi gembira untuk mengejar kebahagiaan akhirat, InsyaAllah.

Wallahua'alam

sudah mula sejuk...daun pun berguguran