Sunday, 20 February 2011

Sebesar mana egomu?


egokah kamu?
sumber




Sebesar mana egomu?

Alhamdulillah masih diberi kesempatan untuk menghirup udara pinjaman Allah. Semalam, salji turun kembali di sini. Subhanallah...dalam cerah dan hujan, Allah turunkan salji. Hari ini cuaca kembali sejuk seperti biasa. Kejadian alam ini mengingatkan saya bahawa hidup kita secara keseluruhannya berada dalam kekuasaan Allah. Allah mampu menjadikan sesuatu tanpa perlukan bantuan sesiapa. Hakikatnya, hidup kita juga begitu; ceria gembira hari ini tak bermakna selamanya. Baru sahaja mendengar berita pemergian ayah seorang sahabat di sini. Perginya mengejut, dan ini mengingatkan saya tentang itulah hakikatnya bila kita menjadi orang yang diciptakan. Allah selaku Al-Khaliq (pencipta) berhak melakukan segalanya kepada kita.

Sebenarnya, hari ini saya berpeluang mendengar ceramah yang disampaikan oleh Nouman Ali Khan yang bertajuk Islam and Ego. Di sini saya sertakan link untuk video tersebut. Pada saya, tajuknya sangat menarik dan isi yang diketengahkan sangat dekat dengan situasi seharian kita. Betapa kita tidak menyedari kadang-kala perasaan ego itu hadir dalam diri kita. Contoh mudah yang diberikan ialah apabila kita merasa sakit hati atau kurang senang apabila idea dan tindakan kita ditegur oleh orang lain. Adakah kita begitu? Sama-samalah kita fikirkan.

Suka untuk saya berkongsi tentang perspektif yang diberikan oleh penceramah di satu video yang lain dalam rancangan "The Deen Show", iaitu tentang tujuan asal kita dijadikan oleh Allah. Analoginya mudah:

"Jika kita membuat atau mencipta sesuatu, tentulah kita ingin mendapatkan manfaat daripada benda yang diciptakan. Begitulah kita sebagai manusia, kita dijadikan tidak lain hanyalah untuk beribadah kepadanya. Tetapi sejauh mana kita menyedari hakikat itu? Sejauh mana kita memenuhi 'expectation' yang Allah tetapkan? Sedarkah kita Allah selalu memberi peluang untuk kita berubah walaupun telah banyak kesalahan kita lakukan?"

Dalam video berkenaan ego itu, penceramah menerangkan tentang beberapa tips untuk menghilangkan rasa ego, antaranya:

*Mengingati Allah dengan ingatan yang bersungguh-sungguh bukan sekadar melafazkannya. Caranya dengan memasukkannya ke dalam hati. Pujilah Allah dengan zikir secepatnya andai kita dipuji dan dikeji. Kadang-kala kritikan atau perkataan buruk yang dinyatakan oleh orang lain adalah satu cara Allah mengajar kita untuk merendah diri dan memikirkan kembali siapa diri kita yang sebenarnya.

*Belajar untuk membantu orang lain. Berterusan untuk melakukan kebaikan (isitiqamah). Kita perlu sedar bahawa kebaikan yang kita lakukan itu hanya usaha kita, tapi ganjaran yang selayaknya hanya Allah yang boleh berikan.

*Belajar untuk bercakap hanya kepada perkara yang perlu. Cari cara terbaik untuk menegur kesilapan orang di sekitar kita. Bercakaplah secara rendah diri dalam bertindak mengingatkan orang lain. Hakikat yang perlu kita sedari ialah, orang yang memberi nasihat lebih banyak mendapat manfaat berbanding orang yang dinasihati.

Sekian dulu perkongsian saya, hanya sedikit yang mampu saya berikan. Rendahkanlah dirimu, penuhi diri dengan kesedaran tentang hakikat kejadian kita. Saya amat berharap agar sahabat-sahabat dapat sama-sama berkongsi dengan saya tentang sebarang ilmu kebaikan dan komen
agar saya dapat memperbaiki diri.


Wallahua'alam


sejuk dan mendung

No comments:

Post a Comment