Bangkitlah wahai ummah!
Alhamdulillah diizinkan Allah untuk menyambung penulisan. Sungguh, saya malu dengan kelemahan diri tidak dapat istiqamah dalam menulis. Sesungguhnya hidup itu ujian, dan saya telah dan sedang diuji, sama seperti rakan-rakan sekalian. Mengingat kepada kelemahan diri menyebabkan saya tidak dapat mengelak dari memikirkan balasan yang bakal diterima hasil dari perbuatan diri. Saya menyeru sahabat-sahabat sekalian untuk sama-sama menilai diri sejauh mana kita telah berjaya menjawab TIGA persoalan utama tentang matlamat kejadian manusia:
1. Kenapa aku dijadikan?
2. Apakah tugas utama aku di alam ini?
3. Ke mana aku akan pergi?
Sahabat sekalian,
InsyaAllah kali ini ingin saya berkongsi serba sedikit berkenaan kebangkitan umat Islam di Tanah Arab. Alhamdulillah, tanggal 11 Februari 2011 menjadi hari keramat kepada warga di Mesir. Bukti kebangkitan yang dicetuskan oleh rakyat mampu menghasilkan impak yang besar kepada negara secara keseluruhannya. Hasil dari kesedaran tentang hak sebagai rakyat yang ditindas melahirkan gelombang perjuangan yang marak membara. Pemerintahan diktator selama 30 tahun akhirnya tumbang dalam masa 18 hari. Jelas kita lihat bukan sahaja pemuda Mesir yang berjuang, namun pergerakan ini turut disertai oleh kaum wanita, kanak-kanak dan warga tua. Ini jelas menunjukkan betapa setiap dari rakyat mampu menyumbang kepada kejayaan dan kegagalan sesebuah negara.
Sebenarnya, jika kita lihat, tindakan yang dilakukan oleh rakyat Mesir atau rakyat dari Tanah Arab sebenarnya secara tidak langsung menjawab persoalan yang kedua seperti di atas. Dengan menyedari bahawa tugas utama manusia sebagai khalifah membawa kepada kesedaran bahawa keadilan perlu ditegakkan.
Sahabat sekalian,
Setiap kejadian Allah itu pasti ada hikmahnya. Benarlah firman Allah dari Surah Al-Baqarah (2: 269):
“Dia yang memberikan hikmah (kemampuan untuk memahami rahsia-rahsia syariat agama) kepada siapa yang Dia kehendaki . Barangsiapa yang diberi hikmah, sesungguhnya dia telah diberi kebaikan yang banyak. Dan tidak ada yang dapat mengambil pelajaran kecuali orang-orang yang mempunyai akal yang sihat”
Daripada ayat ini saya menyeru agar kita cuba mempelajari, memahami dan menilai hikmah di sebalik kebangkitan rakyat di Mesir. Allah memberi ingat kepada manusia bahawa sebesar manapun kekuasaan kita ke atas sesuatu tidak akan mampu menandingi kekuasaan Allah yang Maha Agung. Sebagai makhluk yang kerdil, amatlah penting untuk kita menginsafi kelemahan diri dan tidak membesarkan diri di atas sekelumit kelebihan yang kita miliki. Wajarlah kita menyedari bahawa setiap yang kita miliki pasti akan diambil kembali kerana kita hanyalah peminjam kepada barang kepunyaan Allah. Sekian dahulu perkongsian saya setakat ini. Moga kita sama-sama diberi kekuatan untuk terus menyumbang kerana itulah akhirnya yang akan dibawa bagi tujuan menjawab soalan ketiga di atas.
Wallahua’lam
snowy
No comments:
Post a Comment