Friday, 29 July 2011

impian atau kenyataan?



ada seribu impian? mulakan dengan langkah pertama



Bismillahirrahmanirrahim....

Alhamdulillah...segala puji hanya layak buat Allah SWT. Segala apa yang yang kita miliki hanya pinjaman sementara dari khaliq. Hari ini tinggal beberapa hari lagi sebelum bulan barakah bermula. Rasa seronok untuk sekali lagi memasuki medan tarbiyyah Allah. Ya Allah, sampaikanlah aku ke bulan mulia ini. Seringkali manusia lupa, mungkin Ramadhan kali ini adalah yang terakhir buat kita, jadi marilah sama-sama kita mengambil peluang yang Allah beri di bulan Ramadhan kali ini.

Sahabat-sahabatku,

Hari ini saya terfikir untuk berkongsi tentang impian dan kenyataan. Walaupun kedua-duanya nampak berbeza, namun ia sebenarnya berkaitan. Impian mampu menggerakkan kita untuk berusaha ke arah menggapai kenyataan. Impian boleh dianggap sebagai batu loncatan ke arah kejayaan.

Angan-angan Mat Jenin

Angan-angan pula bagaimana? Saya tidak bermaksud untuk mengulas berkenaan maksud setiap perkataan. Namun, saya teringat semasa kecil saya pernah mendengar kisah Mat Jenin yang terkenal dengan angan-angannya. Jadi, apa beza angan-angan dengan impian. Pada saya, bezanya, tujuan atau objektif.

Objektif membezakan impian dengan angan-angan. Impian yang berobjektif mampu menjadikan hasrat kita kenyataan. Angan-angan pada saya merupakan satu bentuk "pleasure" yang hanya singgah memerikan senyuman di muka, namun tidak membawa kepada tindakan seterusnya.

Bergeraklah!


Impian + tujuan + ikhtiar + tawakal = kenyataan

Saya yakin setiap dari kita ada impian masing-masing. Seperti yang dengar dari Prof Muhaya di Ikim.fm, setiap impain perlu diiringi dengan perancangan yang konkrit. Contohnya; En. A mempunyai impian untuk memiliki kereta. Andai ia hanya sebuah angan-angan, pasti ia hanya singgah dalam kotak fikiran En. A sahaja. Tapi, andai dia mahukan ia menjadi kenyataan pasti dia bergerak untuk mengumpul duit dan membuat sedikit kajian tentang model kereta yang hendak dibeli.

Lagu motivasi kau boleh buat semua!


Ia satu perjalanan bukan destinasi akhir
sumber


Akhirat tujuannya...


Sahabatku,

Andai akhir hidup yang baik atau husnul khatimah menjadi impian kita, adakah kita sudah bermuhasabah sejauh mana kita besedia? Jika hendak menghadapi peperiksaan kita bersedia untuk bersengkang mata dan belajar bersungguh-sungguh, bagaimana pula persediaan kita menghadapi mati?

Mati itu pasti. Tiada siapa mampu menghalang perjalanan akhir itu. Setiap apa yang ada di dunia tiada lagi gunanya di saat akhir nafas di kerongkong. Ini sebagai peringatan buat saya juga. Berapa kalikah sehari kita menanti saat itu? Adakah husnul khatimah menjadi salah satu impian kita? Adakah ia bakal menjadi kenyataan buat kita?

Akhir kalam, sekali lagi saya menyeru diri dan rakan-rakan untuk berusaha menjadikan impian sebuah kenyataan. Perkara ini tidak mustahil, andai ia disertakan ikhtiar dan tawakal kepada Allah. Mari sama-sama bergerak ke arah kejayaan dan paling penting menggapai redha Illahi.

Tugas pertama: impian untuk menjadikan Ramadhan kali ini sebagai medan transformasi diri. Objektif, tindakan dan ukuran, sama-sama fikirkan.

Wallahua'lam

memikirkan sumbangan kepada masyarakat.....

No comments:

Post a Comment