Saturday, 29 December 2012

Nilaian harta

 Nilaian harta...biarlah iman jadi neracanya



Bismillah walhamdulillah..

InsyaAllah kali ini saya ingin berkongsi tentang pengalaman peribadi yang saya hadapi sebelum ini. Hikmahnya baru saya nampak dan rasakan ini. Ia cerita tentang benda, tentang benda yang kadang kala kita menganggap ia milik kita yang sempurna....

Bekas pai Tefal

Saya tidak pasti jika sahabat pernah mendengar atau membeli barang alatan memasak jenama Tefal. Jika di sini, jenama itu agak popular. Bukan semata-mata kerana harganya yang agak mahal di Malaysia, tetapi kerana kualitnya yang seiring dengan harga. Saya juga terlibat menjadi di kalangan orang yang membeli barang jenama Tefal. Alang-alang dapat membelinya dengan harga murah sedikit, jadi saya pun beli...

Antara barang yang saya miliki ialah bekas pai jenama Tefal. Pernah beberapa kali saya gunakan untuk membuat kuih tradisional dan kek. Ya, sungguh saya berpuas hati dengan bekas pai ini. Saya tidak berniat untuk mempromosikan jenama ini, tapi ingin berkongsi satu sisi berbeza tentang bagaimana kita beranggapan dengan harta benda, yang bukan milik kita yang abadi.

Perisitiwa di satu pertemuan

Ditakdirkan Allah, saya berkesempatan untuk berhimpun dengan rakan-rakan di sini untuk meraikan sebahagian dari mereka yang bakal pulang ke tanah air setelah menamatkan perjuangan di sini. Sempat saya menyediakan satu juadah menggunakan bekas pai Tefal. Alhamdulillah, mereka berpuas hati dengan juadah yang sediakan. Setelah hampir selesaikan perjumpaan pada hari yang ceria itu, kami semua berkemas untuk pulang. Dengan takdir Allah jua bekas pai Tefal saya hilang.....

Antara akal dan nafsu

Perkara pertama yang saya fikirkan masa itu ialah untuk mencari bekas pai itu sebaik mungkin. Habis semua plastik menyimpan barang saya buka. Satu persatu dibuka, tetapi hampa, ternyata ia hilang tanpa kesan. Perasaan saya ketika itu ialah kecewa kerana saya sangat suka bekas itu, lagi pula ia mahal. Saya perhatikan orang di sekeliling saya juga nampak panik kerana respons yang saya berikan dalam usaha mencari bekas itu.

Sepanjang perjalanan pulang, saya terasa sungguh ralat. Rasa sungguh kehilangan. Kerana kepenatan secara fizikal dan lebih-lebih lagi mental, saya tertidur...

Bangun dari tidur, tanpa diduga segala perasaan sedih, kecewa, marah yang saya rasakan kerana kehilangan bekas pai itu lenyap dengan tidur yang saya alami. Saya kembali rasional. Bahkan, saya sempat membalas kepada kawan saya yang bertanya tentang hal ini selepas itu dengan jawapan..."Tak apalah, bukan rezeki saya...."

Allah, nada pasrah ini sepatutnya saya ucapkan di saat mula saya ditimpa ujian tadi. Bukanlah selepas saya lepaskan emosi sedih, kecewa dan marah saya kepada kawan-kawan sekeliling. Khilaf sungguh rasa di hati. Itulah akhlak wahai sahabat. Ia dizahirkan tatkala kita diuji, di momen kita dihimpit. Itulah yang tercerna hasil nilai peribadi masing-masing.

Harta itu sementara

Setelah sekian lama saya terfikir tentang ibrah dari peristiwa ini. Ada kala kita diuji dengan kehilangan harta dunia yang fana'. Kita rasa kecewa dan yang sering kali berlaku ialah merasa kehilangan yang amat sangat seakan-akan harta itu tidak sepatutnya hilang. Tanpa sedar, kita meragui ketentuan Allah, menyanggah takdir yang ditentukan-Nya. Astaghfirullah.....saya ingin mengingatkan diri sendiri dan sahabat sekalian, boleh jadi apa yang kita kehilangan itu adalah yang terbaik untuk kita. Boleh jadi andai kita kekal dengan harta tersebut, kita jadi alpa dan jauh dari Allah. Fikirkanlah sewajarnya di setiap takdir yang kita rasakan buruk, namun ada hikmah yang Allah ajarkan kepada kita.

Akhirnya, suka untuk saya ingatkan kembali, hargailah apa yang kita ada, bukan apa yang kita pinta. Gunakanlah sewajarnya apa yang kita miliki dan redhakanlah andai ia hilang dari genggaman kita. Sungguh, semua harta yang kita ada sebenarnya bukan milik kita...semuanya pinjaman dari Allah. Maka, adatlah bagi orang yang meminjam perlu memulangkan barang yang dipinjam. Itulah kita manusia, hanya sebagai peminjam bukan pemilik yang abadi....

sama-samalah kita hayati lagu dari kumpulan Rabbani: Mana milik kita....

Wallahua'lam

sejuk malam Disember...

Tajuk Nasyid : Mana Milik Kita
Artis : Rabbani


Mana milik kita
Tidak ada milik kita
Semua yang ada
Allah yang punya
Tidak ada kita punya
Kita hanya mengusahakan saja
Apa yang kita dapat
Allah sudah sediakannya

Kita Allah punya
Dunia ini ciptaan-Nya
Miliklah apa saja
Tidak terlepas dari ciptaan-Nya

Mana kita punya
Tidak ada kepunyaan kita

Kita hanya mengusahakan
Apa yang telah ada

Mengapa kita sombong
Memiliki Allah punya
Mengapa tidak malu
Kepada Allah yang empunya

Patut bersyukur kepada Allah
Yang memberi segalanya

Malulah kepada Allah
Kerana milik Ia punya

Janganlah berbangga
Apa yang ada pada kita
Kalau Allah tidak beri
Kita tidak punya apa-apa

Janganlah mengungkit
Mengungkit jasa kita
Jasa kita di sisi-Nya
Yang sebenarnya Allah punya

Marilah kita bersyukur
Bukan berbangga
Bersyukur kepada Allah

Bukan mengungkit jasa
Gunakanlah nikmat Allah itu
Untuk khidmat kepada-Nya
Selepas itu lupakan saja
Agar tidak mengungkit-ungkitnya




2012....iktibar dan hikmah





 29 Disember 2012...

Bismillah walhamdulillah..., syukur atas nikmat yang tidak terhingga kurniaan Allah yang Maha Esa. Syukur masih berada dalam nikmat iman dan Islam. Alla....sudah tiga bulan blog ini ditinggalkan. Rasa khilaf dengan kekurangan diri yang tidak mampu untuk istiqamah menulis. Mohon doakan agar saya mampu terus menyumbang walau sekadar cuma.

Tahun ini tahun cabaran

2012 adalah tahun yang banyak mengajar saya erti hidup yang sebenar. Ujian ini adalah cara untuk ku kenal diriku. Itulah satu perkara yang saya fahami berlaku sepanjang tahun ini. Menyedari bahawa masa yang ada amatlah terhad, kekangan menyiapkan penyelidikan dan hambatan menyumbang kepada anak bangsa semuanya berlaku dalam satu arus deras yang tidak terkejarkan. Allah....sungguh saya sedar kelemahan diri dan amat-amat berharap pertolongan Allah dalam setiap detik dan langkah yang bakal saya tempuh. Mohon doakan agar semuanya dipermudah Allah...

Bagaimana dengan rakan-rakan sekalian?. Barangkali banyak peristiwa pahit manis yang dilalui sepanjang 2012. Apa pun yang berlaku sebenarnya tidaklah sepenting berbanding apa hikmah yang hendak kita pelajari darinya. Perkara yang sudah berlaku tidak mampu diulang, tapi apa yang mampu kita lakukan ialah belajar darinya. Bukankah setiap sirah yang kita pelajari dari Al-Quran dan Al-Hadith untuk kita hirup manis hikmahnya?. Belajarlah untuk fahami bahasa indah dari Allah buat kita. Walau pahit sekalipun itu sebenarnya manis bagi yang mahu mengambil iktibar. Andai jatuh, bangkitlah. Kerana kejatuhan itu bukan kesakitan yang sebenar, tapi kegagalan untuk bangun selepas jatuhlah lebih parah dan mencederakan fizikal dan minda manusia.

Resolusi

Saya pernah mendengar pengisian di radio ikim.fm berkaitan hikmah dan iktibar yang mampu kita kutip sepanjang tahun ini. Isi utamanya ialah: bergerak dan menujulah ke arah berbuat kebaikan walau di mana kita berada. Letaklah keredhaan Allah sebagai penanda aras dalam setiap gerak geri kita. Resolusi dan sebarang perancangan yang hendak kita rancangkan biarlah seiring dengan syariat, moga ada barakahnya di situ.

Kelahiran dan kematian

Saya yakin sepanjang tahun ini pasti banyak berita kelahiran anak yang kita terima. Syukur, bertambah lagi khalifah di muka bumi Allah. Saya doakan kepada sahabat yang mendapat anak dikurniakan hidayah dan kekuatan dalam mendidik anak masing-masing. Moga anak-anak kalian menjadi ummat Nabi Muhammad SAW yang baik luar dalamnya.

Dalam gembira ada juga berita kematian yang kita terima. Hakikatnya hidup manusia adalah saling pergiliran antara susah dan senang serta hidup dan mati. Mati adalah perkara yang pasti dan tidak mampu ditunda hatta sesaat pun. Bagi yang sudah kembali kita doakan moga ditempatkan di kalangan para solihin. Hakikat kematian adalah ingatan bagi yang hidup bukan yang mati. Tahun ini mungkin kita tidak termasuk dalam senarai yang bakal dicabut nyawa oleh Malaikat Izrail, namun siapa tahu tahun hadapan bagaimana pula?. Ini ingatan buat diri saya juga yang kadang kala lupa untuk secara sedar mengingati kematian.

Bergeraklah...berusahalah

Tahun 2013 bakal tiba tidak lama lagi. Ia akan jadi sekadar penambahan tahun bagi yang tidak mengambil peluang yang ada untuk memperbaiki diri. Ya, kita pasti pernah tersalah langkah dan berubah arah semasa menghadapi gelombang hidup 2012. Namun, apa yang penting kita, susunlah, aturkan hidup kita ke arah yang lebih baik untuk tahun hadapan, Perancangan itu penting, tapi apa yang lebih penting adalah untuk bersedia menghadapi sebarang ketidaksempurnaan dalam kita merancang. Yakinlah perancangan Allah adalah yang terbaik kerana Allah Maha Tahu apa yang kita perlu, bukan aoa yang kita mahu. Selepas merancang, berusahalah dan akhiri dengan tawakkal kepada Allah.

Akhir kata, suka untuk saya akhiri post kali ini dengan menebut ayat Allah dalam Surah Al-Baqarah (2): 216. Ingatlah, Allah Maha Baik dan mahukan yang terbaik buat hamba-Nya....

"Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui".

Wallahua'lam

sejuk..hujan...Disember...