Apa khabar iman?
Alhamdulillah diberi kesempatan untuk terus hidup di bumi Allah yang Maha luas. Allah….rasa kerdil dan lemah mengingatkan diri yang tak dapat istiqamah dalam beramalan. Sesungguhnya setiap dari diri kita akan diuji dan terus dicuba. Kenapa? Kerana itulah antara hakikat kehidupan yang menjadi kayu pengukur ke mana akhirnya kehidupan kita nanti. Hidup…mati manusia hanya Allah yang tentukan, apa yang penting…bagaimana hubungan kita?
Kesedaran yang bagaimana?
Seringkali kita berada di persimpangan dalam membuat kebaikan dan menghindari kejahatan. Hakikatnya itulah hidup, sejak dari penciptaan manusia yang pertama, ujian itu telah diturunkan.
Sepertimana sebahagian dari firman-Nya dalam Surah Al-Baqarah (2: 214):
“Adakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) seperti (yang dialami) orang-orang terdahulu sebelum kamu……”
Saya berpeluang menyertai satu program motivasi yang dianjurkan oleh universiti. Sebenarnya sudah lama saya tidak ter”motivasi”. Sebenarnya motivasi tidak seharusnya bertindak sebagai ubat yang hanya dimakan bila kita ditimpa penyakit, tapi harus dianggap sebagai “pushing force” yang perlu sentiasa digerakkan dalam kehidupan seharian. Mungkin itulah kurangnya pada diri saya, sepertimana iman manusia, begitu jugalah motivasi ada naik dan turunnya.
Jadi, saya ingin berkongsi serba sedikit apa yang saya dapat dari program tersebut. Penceramah itu asalnya adalah seorang ahli zoologi yang akhirnya bertukar bidang ke motivasi dan pengurusan manusia. Pada saya ia agak menakjubkan bila beliau berani mengubah hala hidup atas dasar minat. Itu juga hasil dari motivasi yang tinggi dan kemampuan untuk berubah dan cuba beradaptasi dengan cabaran baru. Ok, berikut isi program yang boleh saya kongsikan:
1. Kesedaran untuk berubah perlu dimulakan dengan mengenalpasti masalah yang kita hadapi.
2. Menyedari dan mengenalpasti tindakan yang boleh diambil untuk menyelesaikan masalah.
3. Bergerak dan bertindak untuk selesaikan masalah.
Motivasi boleh dikekalkan dengan menyedari tujuan kita melakukan sesuatu perkara. Di sini saya bagi contoh:
“Ali rasa malas nak buat assignment, rasa penat dan tak bersemangat untuk belajar”
Jadi untuk Ali, apa yang penting ialah untuk menyedari apa tujuan utama dia belajar? Adalah untuk mendapat ijazah? Untuk memenuhi cita-cita ibu bapa? Mendapat penghargaan dari orang luar?
Andaikata niat kita tertumpu untuk mendapat redha Allah dan memperbaiki diri kita melalui ilmu yang diperoleh, InsyaAllah Allah akan mudahkan jalan untuk kita buat kebaikan dan kekal dalam kebaikan. Untuk istiqmah dalam beramal sangatlah perlu untuk kita meningkatkan pergantungan kita dengan Allah yang memegang hati kita. Kepada-Nya kita beroda dan merintih agar terus kekal istiqamah dalam kebaikan.
Sahabat-sahabat sekalian,
Saya yakin setiap dari kita pernah termotivasi melalui program motivasi. Tapi apa yang penting ialah untuk kekal dalam momentum tersebut. Janganlah kita menjadi orang yang rugi kerana tidak menyedari nikmat Allah kepada kita dan akhirnya menjadi individu yang kufur nikmat. Marilah kita terus berubah ke arah kebaikan . Berdoalah supaya hidayah Allah sentiasa bersama kita.
Mari kita terus bermotivasi dan memotivasikan orang lain. Hati kita pasti tenang jika mampu membuat kebaikan bukan sahaja bagi diri kita tapi kepada orang lain juga.
Sekadar ingatan buat diri…..
Cerah summer